Sejarah سجاره Bahasa_Inggeris

EN (ISO 639-1)

Bahasa Inggeris merupakan bahasa Anglo-Frisian yang dibawa masuk oleh pendatang Jermanik dari bahagian-bahagian tertentu di negara Jerman. Bahasa Inggeris kuno yang asli itu dipengaruhi dua serangan pendatang baru secara berturut-turut, iaitu penutur bahasa Jermanik cabang Skandinavia yang menjajah beberapa bahagian Britain pada abad ke-8 dan ke-9, disusuli gelombang penjajahan orang Norman yang menutur dalam bahasa yang dekat dengan bahasa Perancis pada abad ke-11.

Menurut Anglo-Saxon Chronicle, sekitar tahun 449, Vortigern, Raja Kepulauan British, menjemput orang Angle untuk membantunya menentang kaum Pict. Sebagai habuannya, kaum Angle disumbangkan tanah di bahagian tenggara. Bantuan selanjutnya terus dicari, maka datangnya kaum-kaum Saxon, Angles, dan Jute. Chronicle pernah menyatakan kemasukan susulan para pendatang yang menubuhkan tujuh buah negara di kepulauan tersebut. Ilmuwan moden menganggap kebanyakan cerita ini sebagai satu legenda dan dimangkini unsur politik.

Pendatang Jermanik ini mendominasi penduduk-penduduk asli yang menutur bahasa Celt, yang tertumpu di Scotland, Wales, Cornwall, dan Ireland. Loghat yang ditutur oleh pendatang tersebut membentuk bahasa yang dinamakan bahasa Inggeris kuno, yang menyerupai beberapa loghat pesisiran pantai di tanah yang kini dikenali sebagai Jerman barat laut dan Belanda. Kemudian, bahasa Inggeris kuat dipengaruhi oleh bahasa Norse, yang ditutur oleh orang Viking yang menduduki timur laut.

Selama 300 tahun setelah penaklukan Norman pada 1066, raja-raja dan bangsawan Norman cuma bertutur dalam bahasa Anglo-Norman. Sebilangan besar perkataan Norman diasimilasi dalam bahasa Inggeris kuno, mengukuhkan evolusi bahasa Inggeris melalui beberapa abad, maka terbentuknya bahasa Inggeris pertengahan.

Pada abad ke-15, bahasa Inggeris pertengahan dibentuk semula melalui Peralihan Vokal Besar-besaran yang melibatkan loghat London yang dijadikan bahasa baku bagi kegunaan pentadbiran kerajaan, dan pemiawaian hasil pencetakan (dari segi ejaan perkataan). Penggunaan Bahasa Inggeris Moden boleh dijejaki ke zaman William Shakespeare.